KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membuat gesaan seluruh dunia untuk menghormati gencatan senjata antara Hamas dan Israel sekaligus menyokong kedamaian yang berterusan.
Penerimaan masyarakat dunia adalah penting supaya ruang perbincangan di antara dua pihak berkenaan dapat dilakukan, kata Anwar.
Perkara itu dibangkitkan Anwar ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics, pada pagi Jumaat waktu tempatan.
Bercakap lebih lanjut, Anwar percaya gencatan senjata yang akan bermula Ahad ini akan membawa kepada kedamaian yang berterusan, pemberian bantuan dan pembinaan semula Gaza.
Anwar menambah beliau amat menyambut baik gencatan senjata di Gaza, dan memuji usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam mendesak semua pihak yang terlibat.
“Sesungguhnya, ini adalah keutamaan yang paling segera.
“Keadilan dan akauntabiliti tetap penting, begitu juga dengan keperluan untuk sebuah negara Palestin yang sah, berdaulat dan bebas, serta keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.
Perdana Menteri menambah keperluan asas perlu dikembalikan dan mengelakkan perbezaan serta perselisihan.
Ia katanya, akan dapat lebih menghargai persamaan, nilai-nilai dan tradisi yang dikongsi bersama.
“Sesungguhnya, kemanusiaan asas kita, mendesak kita untuk melindungi kehidupan dan kesejahteraan manusia kerana hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup, adalah hak sejagat yang dimiliki oleh semua,” tambah Anwar.