Anwar: Generasi Muda Penentu Arah Transformasi Negara

KUALA LUMPUR,– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan Malaysia dalam agenda peralihan ekonomi dan transformasi digital banyak bergantung kepada dasar kerajaan, namun faktor penentu yang sebenar adalah generasi muda.

Berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka malam ini, Anwar menyeru golongan belia untuk membina keyakinan diri berlandaskan iman, ilmu dan nilai pencerahan, sambil menolak retorik politik sempit.

“Yakin kerana iman, yakin kerana ilmu, yakin kerana pencerahan. Tidak mudah diperdaya. Tidak merendah dan menghina orang lain sama ada sesama kaum atau kaum lain,” katanya.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Anwar turut menyentuh pencapaian dalam sektor pendidikan teknikal, khususnya peningkatan ketara dalam permohonan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini mencecah 140,000 permohonan tahun ini.

“Semua perkhidmatan baru termasuk digital, tenaga, AI, pusat data kini memerlukan tenaga mahir dari TVET. Ini perkembangan yang sangat memberangsangkan,” ujarnya.

Beliau turut mengiktiraf semangat dan disiplin golongan muda sebagai antara faktor utama yang menjadikan Malaysia destinasi pelaburan bagi syarikat global seperti Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon.

Dalam usaha memperkukuh kebajikan tenaga kerja muda, kerajaan juga akan melaksanakan Skim Gaji Perkhidmatan Awam (SSIP) dan mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) agar menyemak semula struktur gaji minimum mereka.

“Kita beri isyarat jelas, syarikat untung besar mesti berkongsi dengan pekerja melalui upah lebih adil. Ini hanya berlaku dalam pentadbiran yang mengutamakan tata kelola,” tegas Anwar.

Sebagai tambahan, beliau mengumumkan peningkatan peruntukan kepada MBM daripada RM3 juta kepada RM4 juta serta komitmen mempercepatkan penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan golongan muda agar berwaspada terhadap politik yang memperalatkan sentimen kaum, khususnya dalam isu tanah rizab Melayu.

“Ada pihak yang melaungkan perjuangan Melayu ketika tidak berkuasa, tetapi apabila berkuasa, tanah rizab Melayu juga digadai. Rakyat tidak harus terus ditipu dengan retorik seperti ini,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa masa depan negara adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum — Melayu, Cina, India, Iban, atau Kadazan — dalam semangat Malaysia Madani.

BBerkaitan

Latest articles