Anwar: Felda Tidak Boleh Lagi Dilihat Sebagai Entiti Terasing Dalam Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kawasan Felda tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti terasing dalam kerangka pembangunan negara, sebaliknya mesti diintegrasikan secara menyeluruh dalam setiap projek dan inisiatif kerajaan.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua kementerian dan jabatan memastikan kawasan Felda tidak diketepikan dalam pelaksanaan projek baharu, sama ada melibatkan pembangunan fizikal, kemudahan sosial atau inisiatif ekonomi.

Menurutnya, pendekatan lama yang menganggap Felda mampu bergerak secara sendiri tanpa penyelarasan dengan dasar pembangunan nasional perlu dihentikan.

“Jika ada projek atau apa-apa ikhtiar baharu kerajaan, jangan tinggalkan Felda sebagai satu kawasan yang terasing,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Felda di Menara Felda, di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Ahmad Shabery Cheek.

Anwar berkata beliau hadir pada majlis tersebut dengan keyakinan baharu berikutan petunjuk prestasi terkini Felda yang menunjukkan perkembangan positif, khususnya dari segi peningkatan pengeluaran hasil, penambahbaikan tadbir urus serta pelaksanaan program yang menumpukan kepada kesejahteraan keluarga peneroka.

Beliau mengakui agensi pembangunan tanah itu pernah melalui tempoh mencabar sebelum ini, termasuk keputusan untuk menyahsenaraikan FGV Holdings Berhad daripada Bursa Malaysia.

Namun menurutnya, keputusan yang dianggap sukar itu kini menjadi titik perubahan penting dalam usaha memperkukuh semula kedudukan Felda.

“Keputusan yang melelahkan akibat permasalahan besar itu kini dijadikan suatu yang membina, dan langkah nyahsenarai tersebut menjadi pemacu untuk mengangkat semula kedudukan Felda,” katanya.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut memuji langkah pengurusan Felda yang memberi tumpuan kepada transformasi digital, inovasi serta pengukuhan rantaian nilai industri perladangan.

Beliau berkata pendekatan tersebut selari dengan agenda pembangunan negara yang memberi penekanan kepada pemodenan ekonomi, kemampanan dan peralihan tenaga.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha transformasi mesti tetap berpaksikan nilai integriti, akhlak dan tadbir urus yang baik.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 Felda diadakan secara besar-besaran di kawasan Felda sendiri bagi menyemarakkan semangat warga peneroka.

Beliau berkata program tersebut wajar dilaksanakan dengan penglibatan langsung entiti dalam ekosistem Felda, termasuk Koperasi Permodalan Felda Berhad.

Menurutnya, dengan tekad, kesediaan bekerja secara berpasukan serta sokongan berterusan kerajaan, Felda berpotensi untuk terus muncul sebagai model pembangunan tanah yang menjadi legasi penting negara.

BBerkaitan

Latest articles