JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mencampuri kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyaksikan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebaliknya memberi isyarat jelas bahawa keutamaannya kini adalah memperkukuh jentera parti sendiri.
Presiden PKR itu secara bersahaja berkata beliau tidak berminat untuk mengulas konflik berkenaan, malah menyifatkan ia sebagai urusan dalaman parti terbabit.
“Biarkan dia orang bergaduh dahulu,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Johor di Pulai Spring Resort, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha MPN PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Anwar menjelaskan ia bertujuan menyuntik semangat dan menyelaraskan gerak kerja parti menjelang pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tahun ini.
Menurut beliau, setiap peringkat kepimpinan dan cabang perlu memperkemaskan organisasi dan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap.
“Semua perlu kerja kuat dan bergerak secara berpasukan bagi memastikan kesiapsiagaan parti,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas persoalan berkaitan kedudukan Ketua Pembangkang Parlimen susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan pemecatan Hamzah diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti selaras dengan Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Hamzah dilaporkan tidak hadir ke prosiding disiplin yang dijadual berlangsung di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, walaupun telah dipanggil untuk memberi penjelasan.
Beliau disiasat berhubung dakwaan mengkritik dan menyerang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta dikaitkan dengan usaha menggugat kepimpinan parti termasuk rundingan tertentu melibatkan Perikatan Nasional.
Hamzah sebelum ini turut dikaitkan dengan usaha mengumpul akuan bersumpah bagi menukar kepimpinan Bersatu, selain didakwa menjadi antara individu utama di sebalik gerakan mendesak Muhyiddin berundur.










