KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperintah membayar kos RM50,000 kepada Muhammed Yusoff Rawther oleh Mahkamah Rayuan hari ini, selepas menarik balik rayuan berhubung isu kekebalan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara membatalkan rayuan Perdana Menteri itu selepas dimaklumkan ia ditarik balik.
Turut bersidang Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.
Mahkamah menetapkan bayaran kos perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan sebelum jam 5 petang, 6 April depan.
Rayuan tersebut sebelum ini bertujuan merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada tindakan saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya berhubung dakwaan serangan seksual.
Susulan perkembangan terbaharu itu, perbicaraan saman berkenaan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan pengurusan kes ditetapkan pada 8 April ini.
Difahamkan, kes itu akan didengar di hadapan hakim baharu, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Dalam penghakimannya mengenai kos, Wong menjelaskan terdapat dua permohonan interlokutori difailkan dalam rayuan berkenaan iaitu permohonan menggantung prosiding Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan, serta permohonan memfailkan rekod rayuan tambahan di luar masa.
Beliau menegaskan, rayuan tersebut melibatkan lapan persoalan perlembagaan yang dikatakan mempunyai kepentingan awam kerana menyentuh isu kekebalan seorang Perdana Menteri.
Tambahan pula, hujahan bertulis lengkap telah dikemukakan pihak responden dan enam pengurusan kes dijalankan di hadapan timbalan pendaftar.
Terdahulu, peguam Anwar, Sanjay Mohan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan yang dijadualkan didengar hari ini.
Peguam mewakili Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon kos RM150,000 dibayar serta-merta dengan alasan prosiding rayuan itu melibatkan beberapa pertukaran peguam dan penarikan dibuat hanya beberapa hari sebelum arahan memfailkan hujahan bertulis.
Beliau turut membangkitkan soal pembaziran masa serta kos mahkamah, memandangkan kes berkenaan sepatutnya menjalani perbicaraan penuh pada Jun tahun lalu tetapi tertangguh hampir sembilan bulan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jumlah RM50,000 sebagai kos yang munasabah, manakala pihak perayu sebelum itu mencadangkan bayaran RM15,000.
Sebelum ini, pada 21 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan interim terhadap prosiding saman tersebut.
Rayuan hari ini pula berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu yang menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim Roz Mawar Rozain ketika itu memutuskan persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak melepasi ambang yang diperlukan untuk rujukan ke mahkamah tertinggi, selain tidak melibatkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.










