Anwar Desak Israel Henti Serangan, Tegas Pertahan Misi Kemanusiaan GSF

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan serangan bersenjata Israel terhadap rakyat Palestin dan 500 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) mesti dihentikan segera.

Beliau berkata, meskipun misi kemanusiaan itu berdepan pelbagai halangan termasuk serangan dron baru-baru ini, usaha menamatkan krisis kebuluran rakyat Palestin tetap perlu diteruskan.

“Masih diharapkan misi kemanusiaan ini dapat berterusan. Kezaliman dan keganasan Israel mesti dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Pasar Tani Kekal Presint 4, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan kapal Alma yang membawa 34 sukarelawan Malaysia dalam pelayaran GSF diserang 15 dron.

Perkara itu disahkan Ketua Rombongan GSF merangkap Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, menerusi hantaran di Facebook.

Susulan kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kerajaan sedang mendapatkan bantuan negara-negara jiran Palestin bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan Malaysia yang kini berada di Laut Mediterranean.

Ahmad Zahid menjelaskan langkah itu perlu diambil memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

BBerkaitan

Latest articles