KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan satu gerakan terancang yang didakwa bertujuan menggugat kerajaan susulan siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri berkata, maklumat awal menunjukkan perancangan itu telah dirangka sejak Ogos tahun lalu dengan garis masa sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, melibatkan dana besar serta sokongan pihak dalam dan luar negara.
Menurutnya, sekurang-kurangnya enam pertemuan diadakan sepanjang 2025, termasuk di luar negara, membabitkan syarikat, badan tertentu dan individu berpengaruh bagi menyusun strategi mempertikai kewibawaan kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta status siasatan pihak berkuasa.
Anwar menjelaskan, antara strategi yang dikenal pasti termasuk penggunaan platform antarabangsa seperti ‘international round table’, penglibatan NGO luar serta usaha membina naratif melalui media asing untuk menjejaskan imej kerajaan dan negara.
Tegasnya, tindakan itu dipercayai bermotifkan rasa tertekan susulan siasatan rasuah berskala besar oleh SPRM.
Susulan penemuan dokumen berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang melibatkan kesalahan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.










