KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan wujudnya ketidakadilan dalam Pemilihan PKR 2025 yang berlangsung baru-baru ini, sebagai tidak berasas dan prejudis.
Beliau sekaligus menafikan dakwaan berkenaan, sambil menambah meskipun beberapa aduan dan bantahan telah dikemukakan oleh ahli parti di peringkat cabang, proses pemilihan tetap dijalankan secara telus dan semua aduan sedang disiasat secara profesional oleh juruaudit bebas antarabangsa.
“Kalau ada aduan, tak bermakna pemilihan parti itu tidak adil. Pandangan sebegini sangat prejudis hanya kerana ada pihak yang membuat aduan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.
Anwar turut menjelaskan bahawa semua aduan rasmi yang diterima telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan kini sedang disemak dengan teliti oleh juruaudit luar untuk memastikan ketelusan sepenuhnya.
“Aduan kita ambil perhatian dan sekarang juruaudit antarabangsa sedang semak setiap kes,” katanya lagi.
Semalam, Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut menasihatkan ahli parti supaya menggunakan saluran rasmi untuk mengemukakan sebarang bantahan atau aduan berkenaan proses pemilihan, dan bukan melalui media sosial.
Nasihat itu hadir susulan beberapa calon yang menggunakan platform media sosial bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pemilihan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat rayuan rasmi kepada JPP untuk pertimbangan lanjut.