Di tengah-tengah kekusutan yang melanda pembangkang, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa dua parti rakannya, DAP dan Amanah untuk terus mengukuhkan semangat kerjasama di dalam Pakatan Harapan (PH).
PH Putus Calon PM Minggu Hadapan
DAP, Amanah Gesa Bincang Isu Shafie Dalam Mesyuarat PH
PH sehingga kini masih gagal memutuskan calon perdana menteri, dan ia akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat gabungan pembangkang pada minggu akan datang.
Beberapa cadangan kombinasi diutarakan, namun PKR menolak kerana mahu menamakan Anwar sebagai calonnya.
“Kita bersama dahulu dengan satu agenda yang jelas, berjuang puluhan tahun untuk mempertahankan ini.
“Dan kalau kita mahu umpamanya merebut kekuasaan kerana ini mandat rakyat. Maka kita kena faham, apa dia mandat rakyat pada tahun 2018? Kekal mandat rakyat pada 2018. Bukan soal calon perdana menteri sahaja walaupun itu telah ditandatangani dan diakui.
“Tetapi yang lebih penting dari itu adalah mandat rakyat untuk pastikan negara ini balik sebagai suatu negara yang demokratik, yang adil yang menjamin keselesaan kepada semua, terutama kepada golongan yang miskin, terpinggir, pendalaman, Semenanjung, Sabah, Sarawak tanpa mengira kaum,” jelasnya.
Bercakap di sesi siaran langsung di Facebooknya, malam ini, Anwar secara sinis turut menegaskan bahawa gabungan itu tidak terdesak untuk “bergantung di dahan rapuh yang kemudiannya menikam” gabungan politik itu.
“Kalau mahu kita bersama dalam PH, maka semangat yang ada dalam PH itu jangan dirungkai, jangan seolah-olah kita ini terdesak terpaksa bergantung kepada dahan yang rapuh yang kemudian akan menikam kita.
“Sepertimana yang telah berlaku sebelum ini, letak jawatan ikut sesuka hati tanpa rujukan kepada sesiapa, kucar kacir kita, langgar prinsip dan juga manifesto,” ujarnya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohahamd yang melepas jawatan tersebut pada Februari lalu, tanpa merujuk kepada rakan-rakan gabungan PH.
Tindakan bekas pengerusi Bersatu itu menyebabkan kerajaan PH runtuh selepas 22 bulan memerintah, dan menyebabkan sebahagian daripada Bersatu keluar dari PH, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyertai Perikatan Nasional (PN) dan diangkat sebagai perdana menteri.
PH kini kembali dengan usaha mahu menguasai Putrajaya, dengan mencalonkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas cadangan Dr Mahathir mencalonkan dirinya buat kali ketiga bagi jawatan itu ditolak PKR – yang kekal menamakan Anwar.
Dr Mahathir yang mencadangkan nama Ketua Menteri Sabah itu, turut menamakan Anwar dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri I dan II.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa cadangan tersebut dipersetujui DAP dan Amanah – namun kedua-dua parti itu berkata perkara itu masih perlu dibincangkan di peringkat PH.