PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang untuk membuktikan sokongan mereka dengan membawa usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini.
Menurut Anwar, beliau sedia menerima sebarang keputusan sekiranya pembangkang berjaya memperoleh majoriti untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya sejak akhir 2022.
“Saya telah maklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, jika ada usul hari ini, hari pertama sidang Parlimen, saya tunggu.
“Kalau ada majoriti, silakan,” tegasnya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri sempena bulan Julai di Putrajaya, hari ini.
Anwar turut menyatakan rasa hairan terhadap gesaan mendadak yang mahu kerajaan digulingkan sebelum tamat penggal, tanpa mengikut saluran demokrasi menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).
“Anehnya, mereka mahu kerajaan bertukar serta-merta, seolah-olah proses demokrasi tidak lagi relevan.
“Ada yang kata Anwar kena turun segera. Saya dengar ada ribuan nak berhimpun. Polis beri laporan, saya kata teruskan, saya tak halang,” katanya lagi.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan bahawa sama ada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri akan dikemukakan atau tidak, hanya akan diketahui pada hari pertama sidang Parlimen.
Beliau berkata, sebarang pengesahan hanya akan diumumkan secara rasmi di dalam dewan.