Anwar Boleh Jadi PM Kalau Pilih Jalan Sendiri…

Semua maklum impian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Meskipun Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu sehingga menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) sejak pertama kali dalam sejarah, Anwar, masih gagal ke Putrajaya.

Janji demi janji, tempoh demi tempoh diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Anwar diberikan peluang jawatan nombor satu itu, namun kini semakin berliku selepas terbentuknya kerajaan Pakatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Dr Al-Azharr Siddiq Kamunri berkata harapan Anwar kini hanya kepada PKR, DAP dan Amanah sahaja dalam mengatur langkah seterusnya.

“Sebenarnya, peluang Anwar menjadi perdana menteri terlepas beberapa kali ketika ianya menghampiri tangga terakhir. Tanpa mengira tragedi 1998, Anwar juga berpeluang menjadi perdana menteri pada tahun 2013,” demikian memetik komentarnya di Malaysiakini.

Menyebut tentang rekonsiliasi antara Datuk Seri Najib Razak dan Anwar selepas keputusan PRU13, Al-Azharr berkata Anwar boleh dilantik menjadi timbalan kepada Najib setelah parti gabungan kerajaan itu dilihat ditolak oleh rakyat, selain tekanan dari dalam dan luar negara.

“Namun ia gagal kerana Anwar dikatakan menolak rekonsiliasi itu dan masih yakin dengan jumlah majoriti undi popular boleh menjelmakannya sebagai perdana menteri.

“Anwar mungkin terlupa, sistem pilihan raya di Malaysia adalah berdasarkan majoriti mudah dan sistem perwakilan kawasan yang telah digunakan sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959.

“Manakala, disebut bahawa di pihak Najib sudah ada persetujuan kerana Najib lebih mengutamakan keamanan rakyat dan keselamatan negara berkekalan,” ujarnya.

Malah Najib, sepanjang menjadi perdana menteri tidak pernah mewujudkan usaha menggagalkan cita-cita perdana menteri Anwar, apatah lagi membataskan aktiviti politik individu itu.

Mengambil kira perkembangan politik terkini, Al-Azharr berkata pertemuan antara Dr Mahathir dan ketua-ketua parti politik negara pada Februaru lalu membuktikan bahawa Anwar tidak ada dalam senarai untuk dilantik menjadi perdana menteri sebagaimana yang pernah disebut-sebut PH semasa menjadi kerajaan.

“Saya sangat hairan kenapa Anwar tidak memilih jalannya sendiri? Kenapa terlalu bergantung kepada Mahathir sedangkan Anwar memiliki kekuatan tersendiri?

“Jika saya menjadi penasihat politik Anwar, saya akan minta Anwar bekerjasama dengan Najib.

“Anwar pun tahu, semasa di dalam penjara, Najib banyak mempermudahkannya sebagaimana dinyatakannya sebelum ini,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas kepimpinan Muhyiddin pada hari ini, Al-Azharr memberitahu perdana menteri itu mempunyai sokongan yang kuat daripada Umno, PAS dan GPS Sarawak malah tidak menolak sokongan itu juga datangnya dari beberapa ahli parlimen PKR.

Namun melihat kepada usaha PH yang masih cuba mengumpul majoriti dan serangan Dr Mahathir dan lima yang lain selepas dilucutkan keanggotaan Bersatu, Al-Azhar berkata sekiranya konflik kemelut tidak berkesudahan, adalah lebih baik jika pilihan raya diadakan.

“Jika kemelut merebut jawatan perdana menteri masih berlanjutan, saya cadang kita kembali kepada demokrasi. Bubar Dewan Rakyat.

Kemelut ini menjadikan negara kita kelihatan bobrok dan rakyat rimas. Sudah-sudahlah berpolitik, sekarang masa untuk membangunkan negara,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles