KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khuatir pelaksanaan tarif import timbal balas oleh Amerika Syarikat ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia, berpotensi menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan negara dengan China.
Dalam ucapannya semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kelantan di Pantai Irama, Anwar menjelaskan bahawa langkah AS mengenakan tarif dan cukai import yang tinggi memberi impak langsung terhadap ekonomi negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi China, malah turut memberi kesan kepada Malaysia walaupun kita dikecualikan daripada pelaksanaan tarif itu buat sementara waktu,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa, sebagai sebuah negara eksport dan dagang, Malaysia amat terdedah kepada sebarang ketidaktentuan dalam dasar perdagangan global.
Beliau turut menyatakan bahawa apabila AS menetapkan tarif tinggi terhadap China, hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China pasti terjejas.
“Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ia secara tidak langsung turut menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut.
“Mujurlah AS menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut terhadap beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia buat sementara waktu. Namun, China tetap dikenakan tarif itu,” ujarnya.
Terdahulu Presiden AS, Donald Trump pada 2 April lepas mengumumkan ia akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10% bagi semua negara serta duti yang lebih tinggi, termasuk sebanyak 24% yang dikenakan ke atas Malaysia.