Anwar Bidas Tun M, Sampai Bila Nak Ulang Tuduhan Konspirasi, Khianat

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersinggung dan terasa hati dengan kritikan yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya.

Ujarnya, sebagai manusia biasa beliau tidak dapat lari dari berasa sedemikian namun dalam masa yang sama mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu masih mengulangi tuduhan dan dakwaan yang sama.

“Tapi kalau asyik ulang-ulang konspirasi dan khianat itu tidak boleh. Saya sekarang, tak apa biar dan teruskan ikut jalan saya,” demikian menurutnya seperti memetik temubual bersama Malaysia Gazette.

Anwar mengulas kenyataan terbaru Dr Mahathir pada kelmarin yang dilaporkan berkata, Anwar tidak berupaya menguruskan negara malah kepimpinannya pernah diuji ketika Ahli Parlimen Port Dickson itu memangku jawatan perdana menteri pada 1997 di mana beliau hampir menjerumuskan negara dalam kancah hutang termasuk dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Anwar dan Mahathir berseteru sekian lamanya sejak Ketua Pembangkang itu dimasukkan ke penjara akibat tuduhan liwat.

Namun kedua-duanya menjalin hubungan baik ketika mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dengan alasan mahu menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kerjasama mereka membuahkan hasil apabila Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, hubungan kedua-duanya kembali dingin apabila Dr Mahathir enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar seperti yang dijanjikan, dan akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada Februari lalu.

Mempertahankan dirinya selepas dikritik baru-baru ini, Anwar berkata beliau telah melakukan sebaik-baiknya untuk kepentingan Dr Mahathir ketika pemilihan Presiden Umno 1987.

“Saya ada peranan untuk pertahankan dia (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Semua orang tahu pada 1987 kalau saya tidak sungguh-sungguh dukung dia, mungkin terguling juga dia masa itu.

“Dia akan kalah dengan Tengku Razaleigh tapi itu masing-masing tanggungjawab dan menyatakan keyakinan kita,” katanya.

Beliu merujuk kepada pemilihan UMNO pada 33 tahun lalu yang menyaksikan saingan sengit antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden.

Anwar turut menafikan beliau tidak ada sebarang peranan ketika menjadi Menteri Kewangan di dalam pentadbiran Dr Mahathir suatu ketika dahulu.

Selain menjadi ahli jawatankuasa pertubuhan belia dunia dan kedudukan dalam Angkatan Belia Islam di dalam dan luar negara, beliau turut berperanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jadi ada peranan saya di peringkat dunia sudah dikenali, dan diambil saya ucap terima kasih dan memang benar dia bagi ruang. Tapi kalau kata tidak ada apa-apa dari debu dia angkat, kalau begitu tak apalah.

“Itu kenyataan politik,” katanya.

Mengulas jawatan Perdana Menteri, Anwar menafikan beliu yang beriya-iya mahukan jawatan tersebut sebaliknya ia adalah sesuatu yang telah dipersetujui oleh parti-parti dalam PH termasuk Dr Mahathir sendiri.

Malah ia telah menjadi ketetapan di dalam gabungan PH ketika mendepani PRU14.

“Ini bukan soal Anwar nak jadi PM, tidak. Saya dicalonkan oleh parti-parti dalam PH yang majoriti 92 sekarang.

“PRU 2018 itu diketengahkan saya calon PM, transisi PM sementara (Tun Dr) Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan kita menang PRU14.

“Jadi itu yang harus diketahui bukan perkara itu berkembang dua minggu lalu atau bulan lalu seperti yang didakwa,” katanya.

Diajukan mengenai keyakinan dirinya sebagai Perdana Menteri seepas

menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lalu, Anwar memberitahu beliau melahirkan keyakinan untuk berdepan dengan Al-Sultan disebabkan sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti tertentu.

“Saya menghadap YDPA setelah yakin dengan jumlah kerusi dan dokongan Ahli Parlimen dari parti-parti yang telibat.

“Itu kenyataannya dan proses ini berjalan dan tidak mungkin dan munasabah untuk saya gunakan ruang sehingga menghadap YDPA dalam keadaan saya tidak yakin dengan jumlah itu.

“Tapi dengan ehsan dan kebijaksaan YDPA menangguhkan untuk memastikan beberapa pertimbangan jadi saya hormat,” katanya.

Sama ada beliau dilantik atau tidak ke jawatan itu, Anwar berkata hanya masa yang boleh menentukannya.

“Insya-Allah akan dapat diluruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini