Ramai pemimpin Umno menafikan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan tular nama-nama ahli parlimen parti itu yang didakwa menyokong Presiden PKR tersebut untuk membentuk kerajaan baru.
Terdahulu beberapa nama ahli parlimen Umno didakwa menyokong Anwar seperti yang disiarkan di portal The Coverage.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dirinya tidak terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya, Mahdzir bin Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baru yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,” tulisnya di Facebook, semalam.
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menafikan penglibatan dirinya selain mengatakan bahawa tumpuannya kini kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok.
Begitu juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang sinis berterima kasih kepada Anwar kerana mencalonkannya sebagau Menteri Keraja Raya dalam senarai yang tular itu.
“Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan.
“Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman menyifatkan Anwar penuh dengan sandiwara dan perkara itu tidka menghairankan dirinya.
“Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 Sept dia (dakwa) mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal.
“Jadi kita tidak terkejut dengan sandiwara dia, bagaimanapun kalau betul dia mempunyai angka, ia tidak automatik membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri,” katanya kepada portal berita Umno Online.
Turut menafikan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang berkata dirinya tidak berhasrat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.