KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa siasatan terhadap isu provokasi agama yang tular baru-baru ini akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas tanpa gangguan spekulasi atau tekanan emosi.
“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sewajarnya. Kerajaan Madani akan memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan negara terus dipelihara,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden memijak al-Quran yang mencetuskan kemarahan ramai.
Semalam, Anwar turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan mesti berpaksikan proses perundangan, bukannya dipandu sentimen atau tekanan media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
Terdahulu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.
Lelaki berusia 21 tahun itu disambung reman sehingga 3 Mac selepas arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan lanjut.
Kerajaan sekali lagi menegaskan komitmen untuk memastikan setiap kes disiasat secara adil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak.










