SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan minyak negara masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini, meskipun konflik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
Menurut beliau, situasi di Malaysia masih terkawal dan belum sampai ke tahap kritikal seperti beberapa negara jiran yang terpaksa melaksanakan catuan bekalan minyak.
“Kerajaan memantau keadaan ini setiap hari bagi memastikan bekalan kekal stabil,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.
Anwar turut menjelaskan, strategi pelaburan global oleh PETRONAS di beberapa negara seperti Brazil, Suriname dan Kanada membantu menjamin sumber bekalan serta pulangan yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan domestik.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang telah membantu memudahkan laluan kapal tangki Malaysia di Selat Hormuz.
Sementara itu, kerajaan turut melaksanakan langkah penyesuaian sementara program BUDI95 dengan mengurangkan had kelayakan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April.
Bagaimanapun, harga petrol RON95 bersubsidi serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal masing-masing pada RM1.99 dan RM2.15 seliter.
Untuk rekod, kerajaan kini menanggung subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak mentah global yang telah melepasi AS$100 setong.










