Anwar Beri Amaran Tindakan Maksimum Pihak Cabar Undang-Undang

SELANGOR: Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencabar undang-undang atau mengganggu keselamatan awam, meskipun ruang kebebasan bersuara terus dibuka luas kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kebebasan memberi pandangan dan mengkritik kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan kaum atau menggugat keselamatan negara.

“Kita lebih bebas sekarang. Nak beri pandangan boleh, nak kritik boleh. Tetapi kalau cuba ganggu keselamatan negara atau cabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum. Tangkap mereka dan humban mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi isu sensitif demi kepentingan tertentu sehingga merosakkan hubungan antara kaum, selain menegaskan urusan penguatkuasaan adalah tanggungjawab pihak berkuasa.

“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis. Jangan cuba ambil alih tugas polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan polis tidak membenarkan Perhimpunan GARAH yang dirancang berlangsung di ibu negara malam ini diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Menurutnya, pihak polis menerima notis penganjuran perhimpunan itu pada 3 Februari lalu dan telah menjalankan risikan keselamatan termasuk mendapatkan pandangan pemilik premis di sekitar lokasi dicadangkan.

“Polis juga menerima bantahan daripada beberapa pemilik premis termasuk Kompleks Sogo dan Pertama Kompleks yang bimbang keselamatan pelanggan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadil berkata, maklumat risikan menunjukkan terdapat potensi gangguan ketenteraman, lebih-lebih lagi lokasi terbabit dijangka sesak dengan orang ramai sempena musim perayaan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan.

“Keselamatan dan kesejahteraan awam akan sentiasa menjadi keutamaan polis,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles