KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat jelas bahawa kepimpinan agensi penguat kuasa kini berada di bawah pemerhatian serius, dengan menegaskan pembaharuan mesti dilaksanakan segera atau tindakan tegas akan menyusul, termasuk penurunan pangkat.
Berucap di hadapan ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan jenayah kewangan, Anwar menetapkan tempoh seminggu untuk pimpinan terlibat membuat penilaian terhadap keupayaan masing-masing dalam memikul amanah, sambil menegaskan kegagalan bertindak tidak lagi boleh diterima.
Menurut beliau, walaupun kerajaan telah mencatat pelbagai pencapaian sejak hampir tiga tahun mentadbir, masih wujud kelemahan ketara dalam aspek penguatkuasaan yang membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan, pencerobohan dan aktiviti haram berlaku secara berterusan.
Anwar berkata, kelemahan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi penguat kuasa, malah menimbulkan persoalan bagaimana jenayah boleh berlaku secara terbuka seolah-olah mendapat perlindungan keadaan.
“Jika seseorang merasakan dirinya tidak lagi bersedia menghadapi tekanan, godaan atau cabaran besar dalam jawatan yang dipegang, nyatakan secara jujur. Beritahu ketua jabatan, menteri atau saya sendiri dalam tempoh seminggu,” katanya.
Beliau menegaskan, amaran keras itu lahir daripada rasa kecewa dan kesabaran yang semakin menipis terhadap kelompangan sistem yang sepatutnya sudah lama diperbaiki.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kedudukan tinggi dan pengiktirafan yang diterima bukan sekadar simbol, sebaliknya amanah yang menuntut keberanian, integriti serta kesediaan untuk membuat keputusan sukar demi kepentingan negara.
Menurut Anwar, perubahan sebenar hanya boleh dicapai apabila semua pihak menolak sikap sambil lewa dan bekerja sebagai satu pasukan, berpaksikan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan.
“Saya masih meletakkan harapan kerana naluri untuk melakukan kebaikan itu wujud dalam diri setiap insan. Soalnya, sama ada kita memilih untuk bertindak atau terus membiarkan kelemahan berlarutan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pimpinan agensi penguat kuasa mampu bangkit melakukan pembaharuan menyeluruh demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.










