KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan pendirian tegas bahawa kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi dalam isu pembinaan rumah ibadat, sekali gus memberi keizinan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak terhadap struktur yang dibina tanpa mematuhi peraturan sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan tidak lagi akan membenarkan sebarang pembinaan rumah ibadat yang melanggar peraturan, khususnya melibatkan penggunaan tanah yang bukan hak premis berkenaan.
Menurut beliau, PBT diberi kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membersihkan kawasan yang bukan milik kuil, bagi menamatkan polemik berpanjangan berkaitan pembinaan rumah ibadat tidak mengikut undang-undang.
Anwar menegaskan, meskipun keputusan tersebut dijangka mengundang reaksi dan kontroversi, prinsip kedaulatan undang-undang tetap perlu dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.
“Saya ingin mengumumkan ketetapan bahawa kita tidak lagi mengizinkan pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan. Majlis bandaraya diberi keizinan untuk bertindak bagi membersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya isu ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang, demi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.
“Saya sedar keputusan ini mengundang kontroversi. Namun, jika ada pihak yang melampau sehingga melancarkan kempen merobohkan kuil secara semberono, itu juga salah. Ini negara hukum,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau menegaskan, penyelesaian terhadap isu rumah ibadat perlu berteraskan undang-undang, keseimbangan dan keadilan, tanpa mencetuskan perpecahan atau ketegangan dalam kalangan rakyat.










