KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja sehari ke Pahang hari ini selepas mengalami masalah sakit belakang yang membataskan pergerakannya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan yang menasihatkan Anwar supaya mendapatkan rehat mencukupi bagi memulihkan kesihatannya.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar berehat secukupnya.
Beliau memohon maaf setulusnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadirannya,” kata kenyataan itu.
Anwar dijadualkan menghadiri tiga program utama di negeri itu bermula pagi ini, termasuk majlis penutup Peniaga Kecil (HKKP) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh, Program Temu Anwar @ UMPSA di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang serta sesi ramah mesra bersama penggerak industri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan.
Difahamkan, Perdana Menteri baru sahaja pulang ke tanah air semalam selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan yang berlangsung sejak Jumaat lalu.










