DOHA: Malaysia akan memanfaatkan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini untuk menyatakan pendirian tegas terhadap isu Gaza serta kecaman ke atas serangan Israel, termasuk terhadap Qatar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited membawa suara solidariti terhadap Palestin ke platform serantau dan antarabangsa.
“Pada pertemuan dengan Presiden Trump, kita akan gunakan kesempatan itu untuk mengajak beliau memahami sikap dan pendirian tegas Malaysia dalam usaha mencapai keadilan, termasuk bagi Gaza dan Palestin,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini, semalam.
Sidang kemuncak luar biasa itu dianjurkan atas undangan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, sebagai reaksi segera terhadap serangan rejim Zionis ke atas Doha pada 9 September lalu.
Anwar berkata, kehadiran Malaysia dalam sidang berkenaan membuktikan solidariti dan kemuafakatan negara-negara Islam serta Arab dalam mengecam tindakan biadab Israel.
Ketika menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak itu, Anwar menggesa tindakan punitif dikenakan terhadap Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.
Beliau turut menyeru dunia Islam, khususnya negara-negara Arab, supaya mengambil langkah tegas, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan.
“Pertama, putuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagaimana telah dimulakan oleh beberapa negara Arab. Kedua, hentikan semua bentuk perdagangan dengan rejim itu. Ketiga, manfaatkan kebijaksanaan diplomatik, terutama dengan negara-negara berpengaruh seperti Amerika Syarikat, agar mengambil pendirian selari dengan undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat,” tegas beliau.
Anwar menegaskan bahawa tindakan Israel hari ini bukan hanya tertumpu kepada Gaza dan Palestin, malah melibatkan beberapa negara lain.
“Pertamanya, Gaza dan Palestin terus-menerus dibantai dengan kejam. Kedua, serangan turut melibatkan negara seperti Qatar, Syria, Iraq, Iran dan Lebanon. Ini menunjukkan bahawa dunia sedang menyaksikan kerakusan dan kebiadaban yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden,” katanya.
Delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; serta pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.