KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan doa agar Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan kesihatan yang baik serta kesembuhan segera ketika bekas Perdana Menteri itu sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, Anwar memaklumkan beliau dan isterinya sentiasa mendoakan kesejahteraan Tun Mahathir.
“Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah,” tulis beliau.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN kira-kira jam 9.30 pagi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya pada awal pagi tadi.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff, yang memaklumkan keadaan Tun Mahathir kini berada di bawah pemantauan pihak perubatan.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Tun Mahathir mendapatkan rawatan di IJN.
Pada 13 Julai 2025, beliau pernah dimasukkan ke institut sama selepas mengalami keletihan ketika menghadiri program Picnic & Potluck sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 beliau dan ke-99 isterinya di Putrajaya, sebelum dibenarkan pulang pada hari yang sama.










