KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN harus meletakkan pembasmian kemiskinan dan perlindungan komuniti rentan sebagai teras utama dalam agenda pembangunannya, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung.
Dalam temu bual khas bersama media, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi rantau ini harus diterjemahkan secara langsung kepada peningkatan kebajikan rakyat, perlindungan sosial dan pemeliharaan maruah manusia.
“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Di Malaysia, sasaran kami adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar. Walaupun ia mungkin kembali, saya tekankan bahawa tiada alasan untuk membiarkan hal ini berterusan. Kita mesti selesaikannya,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan ASEAN sering menyentuh soal ketidaksamaan dan jurang pembangunan, namun sudah tiba masanya komitmen itu diterjemah kepada tindakan konkrit.
Beliau turut merujuk Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2025 yang menggariskan pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan inklusif sebagai matlamat utama.
Dalam masa sama, Anwar menekankan keperluan menangani isu ketidaksamaan sistematik serta kelemahan sosial seperti penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia, yang banyak menimpa golongan miskin.
“Keselamatan siber dan penipuan kini menjadi isu utama. Kita sudah melihat kerjasama dua hala yang baik, khususnya dengan Laos dan Kemboja, selain melalui mekanisme ASEAN,” ujarnya.
Melangkah ke arah visi ASEAN 2040, Anwar berpandangan bahawa kejayaan rantau ini bergantung kepada tadbir urus baik, integrasi mendalam dan solidariti serantau.
Beliau berkata kedudukan ASEAN yang berkecuali membuka ruang kerjasama lebih luas dengan kuasa ekonomi seperti BRICS, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
“Sebagai ASEAN dengan lebih 640 juta penduduk dan ekonomi bernilai USD3 trilion, potensi kita amat besar. Namun, penanda aras kejayaan sebenar ialah kebajikan rakyat — pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan pembasmian kemiskinan,” jelasnya lagi.
Anwar turut menyuarakan keyakinan terhadap keberhasilan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, dengan menyatakan konsensus telah dicapai dalam isu-isu utama termasuk grid tenaga serantau, kesalinghubungan digital dan perdagangan intra-ASEAN.
Beliau juga memuji tahap profesionalisme dan kerjasama yang ditunjukkan pemimpin ASEAN serta menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran GCC dan China yang menurutnya, menyumbang kepada keberkesanan sidang kali ini.
Mengenai cabaran logistik penganjuran sidang, Anwar mengakui terdapat gangguan seperti penutupan jalan raya, namun menegaskan langkah tersebut penting demi keselamatan dan penghormatan kepada delegasi antarabangsa.
Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, kali kelima sejak menyertai ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.