KUALA LUMPUR, 9 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa ASEAN mesti kekal sebagai tonggak kestabilan rantau ini dan tidak membenarkan kuasa luar menentukan halatuju serantau, sebaliknya terus menjadi komuniti yang berpandukan kerjasama, kesepaduan dan keberanian.
Berucap pada pembukaan rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, Anwar berkata, mesyuarat kali ini berlangsung pada saat penting di mana ASEAN perlu membuat keputusan berani tentang keutamaan, suara dan masa depannya menjelang 2045.
“ASEAN tidak lahir daripada kemudahan. Ia terbina melalui keazaman negara-negara yang memahami bahaya perpecahan dan janji yang terbit daripada dialog. Kekuatan kita bukan terletak pada ketiadaan ketegangan, tetapi pada komitmen untuk menguruskannya melalui saling hormat dan konsensus,” kata Anwar.
Anwar turut menyeru negara anggota ASEAN agar mengukuhkan “ASEAN Centrality” sebagai panduan utama dalam mengemudi cabaran global yang semakin rumit termasuk perang, tekanan kuasa besar, dan ketidakstabilan geopolitik yang semakin meningkat.
Menyentuh mengenai konflik antarabangsa pula, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap penderitaan berterusan rakyat Palestin, peperangan yang berlarutan di Ukraine, keganasan di benua Afrika dan krisis berpanjangan di Myanmar.
“Sistem multilateral tidak akan bertahan jika prinsipnya hanya dipatuhi apabila selesa. ASEAN perlu menjadi suara yang tetap berdiri mempertahankan peraturan walaupun ketika kuasa lain memilih untuk menyimpang,” tegasnya.
Anwar turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang memuncak di Timur Tengah yang, menurut beliau, mengancam kestabilan global serta keselamatan tenaga.
Sementara itu, Anwar turut mengulas mengenai perubahan landskap ekonomi global.
Menurutnya perdagangan kini menjadi alat tekanan geopolitik , dan bukan sekadar pemacu pertumbuhan.
“ASEAN mesti berani membaca lanskap ini secara klinikal, bertindak dengan bijaksana dan menyatukan dasar luar serta dasar ekonomi. Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi kita mesti bergerak seiring,” katanya, sambil menekankan kepentingan memperkukuh perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota.
Beliau juga turut menyeru agar ASEAN menolak idea pembahagian dunia kepada ‘spheres of influence’ dan menegaskan bahawa keputusan tentang rantau ini tidak boleh dibuat oleh pihak luar.
Keutamaan kepada Keberhasilan Nyata
Di dalam ucapannya itu lagi, Perdana Menteri turut menekankan bahawa ASEAN mesti terus menumpukan kepada kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat seperti kesalinghubungan, keselamatan makanan, pendidikan, kesihatan awam, transformasi digital dan ketahanan iklim.
Beliau menggambarkan aspirasi ASEAN melalui kisah rakyat biasa di Batambang, Luzon dan Chiang Rai – menekankan bahawa kejayaan ASEAN terletak pada impak kepada kehidupan rakyat, bukan sekadar dalam kenyataan bersama.
“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau ini boleh menjadi lebih aman dan makmur — jika kita berani melihat ASEAN sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.”
Mengakhiri ucapannya, Anwar menyatakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus kekal sebagai rantau yang padu, berdaya tahan dan dihormati.
“Marilah kita perbaharui iltizam bahawa ASEAN akan terus menjadi suara yang konsisten, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya sebelum merasmikan mesyuarat tersebut.
Mesyuarat kali ini juga mencatat sejarah penting dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN yang bakal disahkan secara rasmi pada Oktober ini – satu langkah yang sentiasa disokong oleh Malaysia.