Anwar: ASEAN Jamin Sokongan Padu Bagi Pembangunan, Autonomi Timor-Leste

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Timor-Leste akan menerima sokongan menyeluruh daripada komuniti ASEAN dalam usaha membangunkan negara itu dan memperkukuh autonominya di peringkat serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN bukan sahaja mencipta sejarah, malah menandakan era baharu dalam perjalanan komuniti serantau menuju Visi Komuniti ASEAN 2045.

“Kehadiran Timor-Leste melengkapkan keluarga besar ASEAN dan memperkukuh rasa persaudaraan yang telah lama terjalin di rantau ini. Dalam komuniti ini, pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan terus mendapat sokongan teguh dan berterusan daripada semua negara anggota,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar menegaskan bahawa Visi Komuniti ASEAN 2045, yang dimeterai pada Mei lalu, menuntut negara anggota memperkukuh perpaduan dan kepusatan ASEAN bagi memastikan pertumbuhan yang adil, inklusif dan berdaya tahan.

“Visi ini bukan sekadar rancangan jangka panjang, tetapi komitmen bersama untuk memastikan kemakmuran dan kebajikan generasi akan datang terus terpelihara,” katanya.

Majlis bersejarah itu turut menyaksikan penandatanganan Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN oleh kesemua 11 pemimpin negara anggota, yang dipengerusikan oleh Anwar sendiri.

Langkah ini melengkapkan proses keanggotaan penuh Timor-Leste selepas negara itu menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), semalam.

Penyertaan rasmi Timor-Leste dilihat sebagai bukti keberkesanan pendekatan diplomatik ASEAN yang berteraskan keterangkuman, keamanan dan kerjasama, sekali gus memperkukuh perpaduan rantau ini dalam menghadapi cabaran global.

BBerkaitan

Latest articles