Anwar Arah Polis Ambil Tindakan Pihak Terlibat Kibar Bendera Israel

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang mengibarkan bendera Israel dalam satu program di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.

Beliau berkata, perbuatan itu sama sekali tidak boleh diterima dan bercanggah dengan dasar negara yang sejak sekian lama menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap rejim Zionis.

“Sama seperti kes tulisan Hebrew sebelum ini, perbuatan mengibarkan bendera Israel tidak sepatutnya berlaku atas apa alasan sekalipun. Ia bertentangan dengan dasar negara dan pendirian semua parti politik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata beliau bersetuju agar pihak polis mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

“Sewaktu negara kita dijajah, individu yang mengangkat bendera Union Jack dianggap pengkhianat. Hal yang sama wajar dilihat dalam kes ini. Apa sahaja alasan diberikan, tindakan tetap perlu diambil agar menjadi pengajaran,” tegasnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang turut membangkitkan persoalan sama ada wujud layanan dua darjat memandangkan tindakan telah dikenakan terhadap pemilik kenderaan pacuan empat roda yang menampal pelekat tulisan Hebrew dalam kejadian di Melaka.

Terdahulu, program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza” di Sungai Kelantan mencetuskan kontroversi apabila video bendera Israel dikibarkan tular di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan dan perdebatan warganet.

Bagaimanapun, Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan menjelaskan bendera tersebut digunakan sebagai gimik untuk menunjukkan kekejaman rejim Zionis terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) serta penduduk Palestin.

Walau bagaimanapun, Anwar menegaskan sebarang bentuk simbol yang mewakili Israel tetap tidak boleh diterima dan pihak berkuasa perlu bertindak menurut undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles