Anwar: Anak Muda Bukan Alat Politik, Fokus Bangun Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar berhenti menggunakan anak muda sebagai “alat” dalam politik sempit dan perbalahan kaum.

Sebaliknya, kata Anwar, golongan muda perlu dibimbing untuk menguasai bidang-bidang strategik seperti sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM), TVET, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masa depan negara lebih cemerlang.

“Jangan bazirkan tenaga anak muda berbalah isu kaum dan tafsiran yang hanya melemahkan negara. Kita bina kekuatan mereka, fikirkan masa depan 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Menurut Anwar, kerajaan kini memberi fokus besar kepada pendidikan, dengan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disalurkan ke sektor itu, sebagai pelaburan penting untuk masa depan negara.

Tambah beliau, membina anak muda yang berkemahiran tinggi lebih penting daripada melibatkan mereka dalam politik yang memecahbelahkan.

“Adakah kita mahu terus berdebat soal bangsa, atau kita mahu melihat Malaysia setanding negara maju? Ini pilihan kita,” katanya.

Anwar turut menyeru semua pihak untuk bersatu memperkukuh usaha membina masa depan lebih baik, tanpa memecahbelahkan anak muda dengan naratif lapuk.

BBerkaitan

Latest articles