Anthony Tepis Dakwaan Kronisme Dalam Pelantikan Syarikat Periksa Kenderaan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan bahawa wujud unsur kronisme dalam keputusan kerajaan melantik tiga syarikat bagi menjalankan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor, yang sekaligus menamatkan monopoli Puspakom.

Loke menegaskan bahawa pelantikan Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold dibuat melalui proses penilaian oleh jawatankuasa teknikal di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kalau saya lantik syarikat kroni, takkan saya bodoh nak umumkan syarikat-syarikat ini secara terbuka?” katanya dalam satu video di TikTok.

Beliau menjelaskan bahawa tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam industri ini kerana selama tiga dekad, hanya Puspakom diberikan kebenaran menjalankan pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

Sebelum ini, aktivis Ahmad Aliff AS Ahmad Shariffuddin mendakwa bahawa monopoli Puspakom akan digantikan oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan. Isu ini turut dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, yang mempersoalkan kriteria pemilihan tiga syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Loke menegaskan bahawa kerajaan membuka pasaran kepada lebih banyak syarikat bagi meningkatkan persaingan dan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.

“Kalau kita sambung konsesi untuk Puspakom, maksudnya orang ramai tak ada pilihan. Tetapi kerajaan telah membuka pasaran ini (kepada syarikat lain sebagai persaingan),” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa keputusan ini bermotifkan isu perkauman, dengan menegaskan bahawa ketiga-tiga syarikat yang terpilih juga dimiliki oleh Bumiputera.

Loke turut mengulangi bahawa syarikat lain masih boleh memohon untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, selaras dengan dasar kerajaan yang menggalakkan persaingan dalam sektor tersebut.

BBerkaitan

Latest articles