Anthony Tempelak Fuziah Umum PH Sertai Kerajaan Sabah Tanpa Perbincangan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, tampil membidas tindakan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, yang secara unilateral mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) kononnya menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah pada malam keputusan PRN diumumkan.

Menurut Loke, DAP langsung tidak dimaklumkan mengenai sidang media tersebut dan hanya mengetahui kenyataan itu selepas tular, sesuatu yang disifatkannya sebagai langkah “salah sama sekali”.

Bercakap dalam satu audio siar berbahasa Cina, Loke menegaskan pengumuman pembentukan kerajaan negeri sepatutnya dibuat parti dengan kerusi terbanyak, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau mengingatkan PKR hanya memenangi satu kerusi iaitu di DUN Melalap, manakala DAP tewas di kesemua lapan kerusi ditandingi, sekali gus tidak wajar membuat dakwaan bahawa PH dan GRS sudah mencapai angka majoriti.

Untuk rekod, Fuziah sebelum ini mendakwa PH dan GRS memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu Sabah, namun GRS kemudian mengesahkan pembentukan kerajaan negeri bersama BN, Upko dan lima calon Bebas.

Dengan 29 kerusi dimenangi, GRS kekal blok terbesar selepas PRN Sabah pada 29 November lalu.

BBerkaitan

Latest articles