Annuar Gesa UMNO Kembali Berpakat Dengan PN, Ada Potensi Menang Dua Pertiga Dalam PRU15

Sebuah kerajaan yang kuat boleh ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kelak sekiranya UMNO, PAS dan BERSATU bekerjasama dan bergabung mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa percaya gabungan itu mampu memperolehi kemenangan sehingga dua pertiga atau sebanyak 149 kerusi dalam PRU15.

Menteri Wilayah Persekutuan itu kekal dengan pendiriannya bahawa UMNO perlu bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jumlah itu (149 kerusi) adalah kawasan majoriti Melayu yang akan dimenangi oleh calon UMNO, Pas dan Bersatu selaku parti yang mewakili orang Melayu.

“Kemenangan ini akan dicapai sekiranya tiga parti ini bersatu dan tidak berpecah. Kemenangan sudah ada, tinggal lagi kehendak masing-masing sama ada untuk bersama atau sebaliknya,” kata beliau dalam satu sesi temubual dengan TVPertiwi malam tadi.

Ahli Parlimen Ketereh itu menyuarakan keyakinannya iaitu jika berlaku gabungan tiga parti itu, UMNO boleh mempertahankan semua 55 kerusi yang dimenangi pada PRU-14.

Ini termasuklah kerusi yang disandang oleh wakil rakyat UMNO tetapi menyertai parti BERSATU.

“Namun, bab pembahagian kerusi ini tertakluk kepada presiden parti masing-masing. Sudah tentu mereka ada formula tersendiri.

“Rundingan juga perlu diadakan untuk siapa yang harus menjadi Perdana Menteri serta kuota untuk jawatan menteri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles