Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menolak dakwaan kononnya ramai menteri daripada Umno dimarahi oleh barisan kabinet kerana tidak menyokong cadangan darurat kesihatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau secara ringkas mengatakan dakwaan itu sebagai mengarut.
“Ini karut… sangat tidak benar,” ciapnya di Twitter.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu merujuk kenyataan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Mohd Puad Zakarshi kononnya Menteri Umno ‘dibelasah’ semasa mesyuarat Kabinet menerusi aplikasi Zoom dan kerana mereka tidak menyokong usaha mendapatkan pengisytiharan darurat.
Dakwaan Mohd Puad menyentuh kononnya menteri-menteri daripada Umno bersetuju dan menyokong keputusan Raja-Raja Melayu menolak darurat.
Mohd Puad turut membangkitkan keperluan Umno, menerusi Majlis Tertingginya mengadakan mesyuarat sehingga dua kali seminggu dengan mengaitkan ia sebagai usaha mengelak syak wasangka, sabotaj dan politiking.
“Sebab itu apabila YDP Agung menasihatkan semua pihak hentikan politiking. Tuanku tahu nasihat darurat berkaitan dengan kejujuran politik bukan isu COVID-19 semata mata,” katanya. – MalaysiaGazette