Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa persatuan sukan menganjurkan pertandingan di peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu terutama dalam acara bola sepak.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata ia antara usaha yang boleh dilakukan oleh persatuan sukan dalam membantu KBS melahirkan atlet pelapis pada masa akan datang.
“Usaha itu boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan bagi mencari bakat baharu di seluruh negara, kami di KBS sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya mengharumkan nama negara.
“KBS memang ada merangka program untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan agar ia ada kesinambungan dan pelapis namun saya percaya dengan kerjasama persatuan sukan, lebih ramai bakat baharu terutama dalam bola sepak seperti R. Kogileswaran dapat dilahirkan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kejohanan bola sepak ‘Road to Glory to Real Madrid 2023’ yang turut dihadiri oleh bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Stadium Mini Permatang Rawa pada Sabtu.
Kogileswaran, atau Kogi, 24, yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan kini menyertai kelab bola sepak Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC, selepas dilaporkan mengikat kontrak setahun bersama pasukan liga divisyen dua (K2) negara itu.
Adam Adli juga berkata beliau berharap lebih ramai bakat muda yang bertanding dalam kejohanan bola sepak dapat mengikut jejak langkah Kogi jika diberi peluang dan tidak hanya memberi tumpuan untuk beraksi di negara sendiri.
— BERNAMA