More

    Anifah Gesa Musa Beri Laluan Kepada Muka Baru

    Meskipun mengakui sumbangannya sepanjang menjadi ketua menteri Sabah, namun Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berpendapat sudah tiba masa untuk abangnya, Tan Sri Musa Aman memberi laluan kepada muka baru untuk mentadbir negeri berkenaan.

    “Saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sabah, tetapi saya berpendapat beliau (Musa) perlu bagi laluan kepada orang lain untuk ambil alih.

    “Musa adalah abang saya, sudah tentu saya sayangkan dia, tapi politik berbeza di Kuala Lumpur, banyak orang-orang berbeza di sini pun (Datuk) Jefrey Kitingan dan (Tan Sri) Pairin Kitingan.

    “Mereka juga berlawan, malah satu kawasan lagi, sebagai seorang rakyat Sabah, saya amat menghargai apa dilakukan Musa, tetapi saya fikir masa sudah berlalu, biar orang baharu mengambil alih,” katanya.

    Anifah berkata demikian ketika ditanya apakah PCS akan menerima penyertaan Musa, yang juga bekas ketua menteri Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

    Untuk rekod, Musa mula menjadi ketua menteri Sabah sejak tahun 2003, dan hilang kuasa selepas gabungan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada penghujung Julai lalu dibubarkan akibat pergolakan politik yang menyaksikan cubaan Musa untuk menggulingkan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti 32 wakil rakyat Sabah dan mahu berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

    Namun usaha itu gagal apabila beliau tidak dibenarkan untuk bertemu dengan Juhar.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini