Anifah: Ambil Tindakan Terhadap Kehadiran Kapal China Di Perairan Negara

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meminta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya berhubung aktiviti survei yang dijalankan oleh kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anifah berkata, meskipun kapal MMEA dan TLDM negara bersaiz kecil dan mungkin tidak mampu menghalang kapal China namun sekurang-kurangnya negara menzahirkan tekad untuk tidak membiarkan kapal China berbuat sesuka hati di perairan negara.

“Dalam masa yang sama, kita boleh meneliti dan memahami setakat mana China akan bertindak balas terhadap Malaysia. Pemantauan rapat dan membayangi (close surveillance and shadowing) juga mesti dilaksanakan. Seterusnya pihak kerajaan melalui Menteri Luar Negeri wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia

“Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan laporan media tempatan, serantau dan antarabangsa sejak hujung minggu lepas berhubung keadaan di Laut China Selatan, khususnya yang berkaitan dengan kehadiran kapal–kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

Mengulas lanjut, Anifah berkata kerajaan perlu menubuhkan satu entiti khas bagi mengendalikan isu–isu maritim Malaysia meliputi isu pembatasan sempadan maritim dengan negara–negara jiran, isu Laut China Selatan, maritime economic and blue economy dan sebagainya.

Perkara itu, katanya pernah dibangkitkan namun ia tidak sempat direalisasikan ekoran perubahan kerajaan pada 2018.

“Entiti khas ini melapor terus kepada YAB Perdana Menteri dan dengan itu meminimakan pertimbangan politik di peringkat Menteri dan Kementerian,” jelasnya.

Anifah turut memberitahu isu Laut China Selatan merupakan isu berkeutamaan tinggi kepada Malaysia sejak dahulu lagi dan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat–Mesyuarat Kabinet bagi tempoh 2009–2016 sewaktu Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beliau sendiri merupakan Menteri Luar Negeri.

“Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, hak kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan sebagainya. Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China tetapi China menghormatinya.

“​Malaysia tidak akan dapat mempertahankan kepentingan strategik tanpa pendirian yang konsisten dan berprinsip ini. Antara elemen utama pendirian ini ialah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia kerana tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS),” katanya.

Beliau juga memaklumkan kehadiran kapal China ke dalam perairan Malaysia bukan untuk tujuan pelayaran berlaku kali pertama pada 2012 apabila kapal Pengawal Pantai China mengganggu aktiviti kajian seismik yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor PETRONAS. Kapal China bagaimanapun tidak mengambil tindakan yang keras seperti yang berlaku antara China dengan Vietnam dan China dengan Filipina.

​Malaysia bagaimanapun telah memprotes tindakan China tersebut dan Anifah telah memberikan kenyataan kepada pihak media dan membangkitkan ketidaksenangan Malaysia berhubung tindak tanduk China dengan rakan sejawatan beliau dari negara itu.

Justeru kata Anifah, pendirian yang konsisten dan berprinsip adalah merupakan cara terbaik untuk menangani tindak tanduk China. Pada masa sama, pertimbangan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan mestilah berdasarkan kepentingan nasional dan pertimbangan lain seperti keperluan menjaga air muka China dan sebagainya menjadi pertimbangan sekunder.

BBerkaitan

Latest articles