JOHOR BAHRU: Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dijadual berlangsung di Istana Bukit Serene pada Jumaat ditangguhkan ke esok.
Perkara itu dimaklumkan kepada petugas media menerusi satu notis pada pagi ini yang memaklumkan majlis berkenaan akan diadakan pada waktu yang sama, namun tidak menyatakan sebarang sebab penangguhan.
Istiadat berkenaan dijadual berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Majlis itu turut dijangka dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Dalam PRN yang berlangsung Sabtu lalu, BN meraih 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.










