Polis Kelantan mengesahkan penangkapan enam anggotanya ketika sedang berkaraoke di sebuah premis yang menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen di Bunut Payong, Kota Bharu, Khamis minggu lalu.
Ketika serbuan jam 11.30 malam itu, dua anggota polis berada di ruang tamu premis berkenaan, manakala empat lagi sedang berkaraoke dalam sebuah bilik.
Kesemua anggota itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun.
Turut ditahan adalah pemilik premis berusia 25 tahun.
“Empat orang yang ditahan adalah anggota cawangan pengiring, seorang dari cawangan trafik dan seorang lagi dari cawangan pengangkutan IPD Kota Bharu.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu juga dirampas,” demikian memetik kenyataan.
Untuk rekod kegiatan pusat hiburan atau karaoke satu kesalahan di Kelantan kerana kerajaan negeri tidak membenarkan pembukaan pusat itu.
“Kes diklafikasikan di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam anggota polis berkenaan.
Katanya, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kelantan (JIPS).