ISKANDAR PUTERI: Seorang anggota polis mengalami lebam di mata kanan dan bahu, serta bengkak di kaki kiri, selepas diserang seorang lelaki di Balai Polis Mutiara Rini, semalam.
Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, memaklumkan bahawa suspek berusia 22 tahun dipercayai membaling rim motosikal dan menumbuk muka anggota yang sedang bertugas di kaunter aduan.
Insiden berlaku kira-kira pukul 3.40 petang, dan suspek ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis.
“Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau. Suspek yang kelihatan seperti kurang siuman telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut,” kata beliau dalam kenyataan rasmi.
Selain itu, pihak polis turut merampas satu beg silang yang mengandungi sebilah pisau dan rim motosikal daripada suspek. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.










