IPOH: Polis membuka kertas enkuiri tatatertib melibatkan beberapa anggota dan pegawai pengiring ekoran insiden seorang wanita cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, dua hari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan dalaman itu bertujuan menilai sama ada wujud unsur kecuaian dalam kawalan keselamatan sepanjang acara rasmi berkenaan.
“Jika terbukti terdapat elemen kecuaian, kertas siasatan tatatertib akan dibuka bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Buat masa ini semua anggota serta pegawai terlibat masih bertugas seperti biasa. Esok satu mesyuarat bersama pihak istana akan diadakan bagi membincangkan langkah susulan,” katanya seperti dipetik Buletin TV3.
Semalam, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun berjaya melepasi kawalan keselamatan sebelum naik ke pentas utama dan menghampiri Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri Perak dimainkan. Bagaimanapun, tindakannya segera dihentikan pengawal keselamatan yang bertugas.
Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, memaklumkan wanita itu kini direman tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan pernah menerima rawatan psikiatri, namun ujian air kencingnya disahkan negatif.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.