PETALING JAYA: Pembentukan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan memerlukan sedikit masa.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan dimuktamadkan segera selepas mendengar pandangan semua pihak termasuk parti yang membentuk kerajaan berkenaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, selain saiz anggota Kabinet bagi Kerajaan Perpaduan akan dikecilkan, ia perlu dilakukan secara teliti dan pihaknya tidak mahu pembentukan Kabinet sekadar hanya mengisi kuota.
“Sesegera mungkin seperti mana yang saya sebut, tidak seperti biasa, Kerajaan Perpaduan ini membabitkan banyak parti.
“Jadi sebelum membuat keputusan, saya mesti dengar semua pandangan dan kemudian masalahnya kerana Kabinet dikecilkan.
“Kalau dulu masuk saja, 50, 60, 70 (jumlah menteri) okay…tak cukup lagi (walaupun jumlah ramai, lantik pula) duta khas, penasihat khas, saya tidak sanggup berbuat begitu,” katanya kepada media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, hari ini.