Anggota Bomba Mengaku Tak Salah Lima Tuduhan Rogol, Amang Seksual Remaja OKU

KUALA LUMPUR: Seorang anggota bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini dan berdepan dengan lima pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 17 tahun.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Mohamad Azali, 38, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan dala kejadian awal bulan ini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, duda kepada lima anak itu didakwa merogol mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam di sebuah rumah dalam daerah ini, antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 9 Julai lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) kanun sama, penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Sementara pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa antara pukul 12 tengah malam hingga 1.30 pagi dengan kedua-dua kejadian ini berlaku pada tarikh dan tempat sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohamad Firdaus memaklumkan mendakwa dia bertugas di sebuah balai bomba di Kuching serta sedang bercuti tanpa gaji sejak setahun lalu.

Namun pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir bangun dan mengemukakan surat perakuan berkenaan kedudukan tertuduh yang bertugas di balai bomba dalam daerah ini dan kini ditahan kerja kerana tidak hadir bertugas sejak Januari 2022.

Sejurus melihat surat perakuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, Abu Bakar memutuskan tiada sebarang ikat jamin diberikan terhadap tertuduh.

“Kamu tidak bercakap benar,” tegur Abu Bakar terhadap tertuduh.

BBerkaitan

Latest articles