KAHERAH: Pelakon Hollywood dan aktivis kemanusiaan terkenal, Angelina Jolie, melakukan lawatan ke kawasan sempadan Rafah di Mesir yang menjadi pintu masuk ke Semenanjung Gaza bagi meninjau secara dekat usaha bantuan kemanusiaan yang sedang dijalankan.
Menurut sumber Bulan Sabit Merah Mesir, Jolie mengunjungi organisasi itu bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai operasi bantuan untuk penduduk Gaza yang kini berdepan sekatan dan krisis kemanusiaan.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau diiringi gabenor wilayah berkenaan, manakala media Arab melaporkan kehadiran seorang wakil Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Sebagai tanda solidariti, Jolie turut menyertai aktiviti membungkus bekalan bantuan untuk dihantar ke Gaza serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mesir, sukarelawan dan petugas barisan hadapan yang berusaha memastikan bantuan dapat disalurkan walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Pada sebelah petang, beliau dijadualkan melawat sebuah hospital di al Arish, berhampiran Rafah, untuk bertemu rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza.
Lawatan itu bertujuan menyatakan sokongan moral serta mendengar sendiri pengalaman mangsa peperangan.
Untuk rekod, Angelina Jolie pernah berkhidmat sebagai utusan khas kepada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan sehingga kini aktif melawat kawasan konflik di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap penderitaan orang awam.
Rafah merupakan satu-satunya lintasan sempadan Gaza yang tidak bersambung terus dengan Israel.
Laluan tersebut ditutup sejak tercetusnya perang, sekali gus mendorong pelbagai pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menggesa pembukaannya bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.










