Andaian Banjir Hanya Berlaku Di Pantai Timur Menyebabkan Amaran MetMalaysia Tak Diendahkan

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan, yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan, bermula 18 Disember tahun lalu.

Namun sikap tidak endah daripada pihak yang terbabit secara langsung dalam pengurusan bencana selain andaian hanya negeri di Pantai Timur Semenanjung saja akan terjejas akibat banjir yang dibawa hujan lebat berterusan akibat luruan Monsun Timur Laut, menyebabkan pengurusan bencana pada ketika itu ‘bermasalah’.

“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak,” katanya ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan Kategori Merah iaitu kategori Bahaya pada 18 Disember, susulan susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan wilayah di Semenanjung.

Ujar Ismail Sabri, banjir yang melanda Selangor pada tarikh berkenaan berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter (mm), yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

Pada masa yang sama, katanya, kejadian air pasang menyebabkan banjir itu bertambah buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar.

“Pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya.

Menyedari situasi banjir yang kritikal di Selangor, Ismail Sabri memberitahu beliau bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pada tarikh kejadian bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim dan segera mengaktifkan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC.

Selain itu katanya, berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan yang diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JBPN) dan Daerah (JBPD) sehingga mendapat reaksi negatif rakyat, beliau mengambil keputusan mempengerusikan beberapa siri mesyuarat.

Ia termasuk Mesyuarat Khas pada 19 Disember 2021 di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim yang juga Pengerusi JPBN bagi mendapatkan penerangan situasi semasa banjir dan isu yang memerlukan tindakan segera.

Selain itu, Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara pada 20 Disember 2021 bersama anggota Kabinet dan Ketua Setiausaha Kementerian di Parlimen, bagi menyelaras tindakan menyelamat serta pemberian bantuan kepada mangsa dengan menggerakkan anggota dan aset tambahan ke kawasan terjejas banjir serta Mesyuarat Khas Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Disember 2021 bagi mendapatkan maklum balas semua negeri berhubung isu banjir.

BBerkaitan

Latest articles