Ancaman Harimau: Kerajaan Kelantan Tak Berhasrat Pindahkan Orang Asli

KOTA BHARU: Pelbagai inisiatif digerakkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Perhilitan (Perhilitan) Kelantan dalam menangani ancaman harimau belang di negeri itu, demikian menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga merasakan tiada keperluan untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman haiwan liar berkenaan sejak Disember lalu.

“Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

“Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Mengulas dakwaan pelbagai pihak bahawa harimau belang berkeliaran di perkampungan Orang Asli kerana pembalakan haram, Mohd Amar mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK), namun tidak terlalu serius.

“Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

“Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya.

Baru-baru ini seorang lelaki Orang Asli dari suku kaum Temiar maut dibaham harimau belang dalam satu kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai, pada 7 Januari lepas.

Kebimbangan berterusan disuarakan penduduk Orang Asli di Pos Ber selepas ternampak kelibat harimau belang pada Jumaat lalu.

 

BBerkaitan

Latest articles