KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh bapa kandungnya sendiri dalam kejadian tragis di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Sabtu lalu.
Tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, yang hadir berbaju kurta ungu, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Arunjothy.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bapanya, Mohammad Tasnim Nurdin, 62, kira-kira jam 3.01 pagi, 13 September lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara untuk tempoh tertentu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan polis mendapati pertelingkahan berkaitan isu harta dipercayai menjadi punca lelaki warga emas itu maut ditikam anak kandungnya.
Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan terlentang di ruang tamu pangsapuri berkenaan dengan kesan tikaman sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk bedah siasat.
Polis kemudian menahan suspek di lokasi kejadian dan dia direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.