Anak Najib Persoal Keadilan Untuk Bapanya

KUALA LUMPUR: Setahun selepas menjalani hukuman penjara, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib mempersoalkan mengapa parti itu tidak boleh mendapatkan keadilan Datuk Seri Najib Razak.

Ujar Nazif, sedangkan UMNO ketika ini adalah sebahagian daripada kerajaan dan jaguh orang Melayu.

“Jika Tun Abdul Razak Hussein dipenjarakan hari ini dan bukan Datuk Seri Najib, adakah kita akan dapat keadilan untuknya?” soalnya dalam hantaran Facebook.

Genap setahun Najib dipenjarakan setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd ditolak.

Kekecewaan penyokong Najib terhadap kepimpinan UMNO yang dikatakan gagal membela nasib bekas presiden parti itu dikenal pasti sebagai antara punca prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada enam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Mohd Nazifuddin memberitahu, ketika PRN baru-baru ini, rakyat mula bersuara bahawa ia bukan sekadar isu ekonomi dan keperluan asas tetapi isu prinsip dan hak asasi manusia.

Beliau menambah, hari ini juga Najib dikurniakan seorang lagi cucu dan bapanya itu sepatutnya berada di samping keluarga tercinta meraikan kehidupan dan generasi akan datang.

“Bukan di mana beliau berada hari ini, belakang tirai besi yang kaku,” jelasnya.

Mohd Nazifuddin berharap, masih tidak terlambat untuk membatalkan ‘kesalahan’ yang telah dilakukan kerana orang yang menjadi juara terbesar ketidakadilan terus berdiam diri.

“Dan wajar kita bertanya kepada diri kita hari ini di manakah silapnya kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles