Anak Najib Mohon Sokongan Untuk Menang Jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Atas dasar untuk menyumbang kepada parti yang telah berjasa kepada rakyat dan negara, anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin akan bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam kenyataan di media sosial, Mohd Nazifuddin merayu kepada semua Pemuda UMNO dalam pemilihan yang akan diadakan bulan depan.

“Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang telah banyak berjasa ini. Bukan sahaja untuk orang Melayu malahan kepada keseluruhan rakyat Malaysia juga.

“Maka dengan penuh rendah hati, saya mohon sokongan dari seluruh sahabat pemuda UMNO seluruh Malaysia,” katanya.

Meskipun sedar terdapat cabaran utama Pemuda adalah untuk menarik minat sokongan muda untuk kembali ke arah UMNO, namun Mohd Nazifuddin bersedia untuk berhadapan dengan cabaran besar itu demi mengukuhkan UMNO.

“Keutuhan berpasukan,persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.

“Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi intipati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya,” katanya.

Beliau berpandangan kelebihan yang dimiliki dalam persatuan sukan mampu menarik sokongan dan mendampingi orang muda.

Sehubungan itu beliau akan memberi fokus terhadap pengundi baharu lepasan sekolah dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ketika ini jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO disandang Shahril Hamdan, namun beliau telah digantung enam tahun oleh parti berkenaan pada Jumaat lalu.

Pemilihan UMNO akan dimulakan dengan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan pada 1 Februari.

BBerkaitan

Latest articles