Anak Najib Luah Kecewa, Kesal Ada Yang ‘Bersorak’

KUALA LUMPUR: Di sebalik hiruk-pikuk politik dan sorakan di media sosial, seorang anak hari ini meluahkan kekecewaan yang mendalam terhadap keputusan mahkamah membabitkan ayahnya, Datuk Seri Najib Razak, sambil mempersoalkan makna sebenar keadilan dan maruah institusi yang selama ini dijunjung.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazif Najib menyifatkan hari semalam sebagai hari yang amat menyedihkan buat keluarganya, lebih-lebih lagi apabila melihat segelintir pihak meraikan keputusan tersebut seolah-olah satu kemenangan peribadi.

“Semalam adalah hari yang sangat memilukan. Saya sedar ada yang gembira, malah bersorak. Di media sosial, wajah sebenar mereka yang meraikan penderitaan orang lain terpampang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun menegaskan ayahnya tidak akan mengalah dan akan terus berjuang, Nazif mengakui sebagai seorang anak, keletihan emosi sukar disembunyikan.

Katanya, setiap ujian yang berpanjangan menimbulkan persoalan yang semakin berat untuk ditanggung.

“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan menyerah. Tetapi sebagai anak, saya tertanya-tanya bilakah semua ini akan dianggap cukup? Sampai bila keluarga kami perlu melalui semua ini?” luahnya.

Menurut Nazif, kesedihannya bukan sekadar tertumpu kepada nasib Najib sebagai seorang bapa, tetapi terhadap implikasi besar keputusan tersebut ke atas prinsip yang selama ini diperjuangkan UMNO, khususnya berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Selama puluhan tahun, UMNO berdiri atas prinsip menjunjung titah dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi itu seolah-olah diruntuhkan,” katanya.

Beliau berpandangan keputusan berkenaan membawa mesej bahawa sebarang titah atau dokumen Diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan, satu implikasi yang disifatkannya amat besar dan mendalam terhadap sistem kenegaraan.

Nazif turut mempersoalkan mengapa pendirian sedemikian tidak dinyatakan lebih awal jika itulah tafsiran sebenar kerajaan, memandangkan keluarganya telah berulang-alik ke mahkamah selama ini bagi mempertahankan kewujudan titah adendum yang kini dipertikaikan dari sudut proses.

“Saya secara peribadi percaya titah adendum itu sah. Kefahaman saya, dan ramai pihak lain, Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, manakala kuasa muktamad terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Namun, katanya, keputusan semalam memberi isyarat jelas bahawa kuasa tersebut kini ditafsirkan berada di tangan kerajaan, dan tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja dianggap tidak membawa nilai.

Beliau turut mempersoalkan konsistensi sistem dengan membandingkan kes-kes terdahulu yang turut mempunyai isu proses, sambil mempersoalkan bagaimana prinsip itu diterapkan secara selektif.

“Atau adakah semua ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia?” soalnya.

Nazif turut mengingatkan mereka yang meraikan hakikat Najib masih berada di Penjara Kajang bahawa ini bukan hari pertama ayahnya di sana, sebaliknya sudah memasuki tahun keempat pemenjaraan.

Katanya, jika benar kehendak Yang di-Pertuan Agong terdahulu seperti yang dizahirkan melalui surat Istana, maka penahanan Najib ketika ini disifatkan sebagai tidak adil dan bercanggah dengan kehendak tersebut.

Lebih menyayat hati, katanya, Najib terus menanggung akibat bagi jenayah yang dikaitkan dengan Jho Low, individu yang sehingga kini didakwa masih bebas tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk membawanya pulang ke muka pengadilan.

Dalam masa yang sama, Nazif menyindir pihak yang meraikan keputusan itu sebagai kemenangan politik terbesar mereka.

“Selain menjatuhkan sebuah kerajaan lama dan meraikan sabitan seorang ahli politik Melayu, apa lagi yang telah dilakukan untuk rakyat sama ada Melayu, Cina atau India?” katanya.

“Saya percaya rakyat mampu menilai sendiri. Masa akan menentukan segalanya,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles