Anak Muda Melayu Perlu Berwaspada, Jangan Biar Malaysia Dikuasai Bukan Melayu

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan kepada anak muda Melayu agar tidak terlalu mudah menerima kemungkinan Malaysia dikuasai oleh kaum bukan Melayu, meskipun mereka adalah rakyat negara ini.

Dalam kenyataan terbaharunya, bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa sikap keterbukaan generasi muda terhadap idea kepimpinan bukan Melayu perlu diteliti dari sudut realiti sosial dan sejarah negara.

“Walaupun bukan Melayu adalah rakyat Malaysia, majoriti daripada mereka tidak sepenuhnya bersikap sebagai rakyat negara ini seperti kita. Mereka masih mengekalkan identiti asal melalui bahasa, budaya, sekolah dan juga parti politik yang berteraskan negara asal mereka,” katanya.

Mahathir menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan anak muda Melayu yang menurutnya semakin terbuka dengan idea ‘peralihan kuasa’ kepada kaum lain, tanpa menyedari implikasi terhadap masa depan politik dan sosioekonomi orang Melayu.

Beliau turut mendakwa wujud diskriminasi terhadap orang Melayu dalam sektor korporat yang didominasi oleh bukan Melayu, dan sekiranya golongan itu menguasai kerajaan sepenuhnya, dasar sedia ada seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kelebihan kepada Bumiputera akan digugurkan.

“Sudah ternampak bibit-bibit diskriminasi terhadap kita apabila mereka mendominasi ekonomi. Bila mereka berkuasa penuh, dasar mereka akan berpaksikan meritokrasi yang akhirnya menguntungkan mereka,” ujar Mahathir.

Mengulas sejarah politik negara, beliau berkata sepanjang lebih 60 tahun kemerdekaan, orang Melayu yang memegang kuasa sentiasa memberi ruang dan berkongsi kepimpinan dengan bukan Melayu, sebagai satu sikap yang katanya tidak mudah dibalas setara oleh pihak lain.

“Orang Melayu tidak pernah bolot kuasa. Mereka berkongsi dalam kerajaan, malah DEB juga tidak menafikan kemajuan bukan Melayu. Kita hargai sumbangan mereka, tetapi tidaklah sampai negara ini dimiliki mereka yang masih kuat terikat dengan negara asal,” katanya.

Mahathir turut membangkitkan kenyataannya pada Disember 2023, yang menyebut bahawa bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya majoriti orang Melayu menerima keadaan tersebut.

Namun, beliau menegaskan dinamik kaum dalam negara masih menetapkan bahawa jawatan itu akan terus dimiliki oleh bangsa Melayu.

BBerkaitan

Latest articles