Anak Muda Kena Bijak Nilai Maklumat Di Media Sosial

KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial yang kini menjadi keperluan dalam kehidupan seharian, bagaimanapun perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda untuk membuat penilaian maklumat yang diterima menerusi platform media sosial dan tidak terus menerima tanpa usul periksa.

“Sebab kadang-kadang banyak penipuan. Umpamanya ada tok guru bagi ucapan. Orang nampak tok guru pakai serban pakai jubah. Dia bercakap satu minit.

“Katanya, ‘siapa yang sokong parti saya, Allah restui. Siapa tak sokong, ini jadi musuh Allah’. Kalau orang yang tak berfikir, dia akan kata tok guru ini yang beritahu. Sebab itu kita kena periksa betul atau tidak,” katanya mengulas soalan dilontarkan salah seorang pelajar dalam Program Temu Anwar di Kolej Kemahiran Teknologi MARA, Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, anak-anak muda perlu menyemak dahulu sesuatu perkara yang diterima dan disampaikan sebelum mempercayai kata-kata yang disebarkan.

Anwar memberi contoh pihak yang mendakwa pentadbiran Kerajaan Madani menganaktirikan negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Rupanya saya sudah jawab di Parlimen dalam Belanjawan Negara. Bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ini, peruntukan untuk Kelantan, Ternegganu, Perlis dan Kedah lebih tinggi, paling tinggi dalam sejarah daripada tahun-tahun sebelumnya. Ketika mereka memerintah.

“Ini cerita satu minit, kita hukum orang. Orang bercakap tu menipu, orang yang mendengar ini tertipu. Sebab itu kita kena semak,” tegas Anwar.

Selain itu, dalam program yang berlangsung hampir dua jam itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tujuan baik pulih fasiliti tandas di semua institusi di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) di negeri ini.

BBerkaitan

Latest articles