KUALA LUMPUR: Kedua-dua anak lelaki dan menantu kepada pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad dihadapkan Mahkamah Tinggi Syariah hari ini atas pertuduhan cuba menghina agama Islam dan bersubahat melakukan kesalahan itu pada September lalu.
Bagaimanapun Athoullah As’aari, 39, dan isterinya, Ummu Habibah Raihan, 41, mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad ‘Athoullah didapati telah memiliki tiga dokumen-dokumen iaitu senarai buku/bahan terbitan yang disita dalam Ops Global pada 21 September 2024 iaitu buku bertajuk Politik Islam Membawa Kasih Sayang Bil 2857; Pendidikan Rasulullah Bil 2185 dan satu bingkai bergambar As’aari.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah rumah yang beralamat di SI 220, Jalan Ayer Molek Perdana 10, Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah di sini kira-kira jam 1.15 petang, 21 September 2024.
Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (EKS) Negeri Melaka (1991) iaitu cuba menghina agama Islam dengan cara menghina fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti melalui Warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan Warta bertarikh 2 Ogos 2007.
Jika sabit kesalahan dan apabila sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala isterinya, Ummu Habibah Raihan, 41, didapati bersubahat dengan Muhammad ‘Athoullah melakukan kesalahan itu dilokasi dan waktu yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Atras Mohamad Zin, Timbalannya, Norazita Mohd Ali, Ummu Hani Hishamuddin, Rabiatul Adawiah Mohd Dahlan dan Mohd Rafaie Zasari.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam syarie Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad.
Atras dalam hujahannya mencadangkan jaminan terhadap Muhammad ‘Athoullah berjumlah RM1,000 sebelum ini dilanjutkan sehingga ke tarikh baru perbicaraan manakala isterinya dikenan jaminan RM3,000 atau dua orang penjamin.
Hakim Mohd Yunus kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula 13 Februari 2025.
Dalam prosiding itu, mahkamah turut mengarahkan dua lagi anak lelaki Ashaari masing-masing berusia 42 dan 45 tahun serta dan isteri-isteri mereka yang sepatutnya berdepan pertuduhan sama hari ini ditunda ke tarikh sama 13 Februari tahun depan dengan jumlah bon jaminan sama dikenakan.